Pelajar Guru

Pelajar Guru

Sunday, 19 October 2014

1.    ISU PEMBUANGAN BAYI

Malaysia kini dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka begitu alpa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat laporan bayi yang dijumpai di dalam tandas, di tepi longkang, dan lain-lain tempat tanpa ada perasaan perikemanusiaan. Menurut Cikgu Azemi, pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika mengambil keputusan kerana mahu menutup aib diri. Kebanyakan kehamilan remaja berpunca dari seks sebelum kahwin, sumbang mahram, rogol dan penderaan seksual. Keadaan ini telah menyebabkan remaja-remaja kini menghadapi pelbagai cabaran kerana mereka belum bersedia untuk menjaga bayi mereka. Oleh itu, mereka terpaksa bertindak untuk membuang bayi mereka. Keadaan mereka yang sedang berada di alam persekolahan dan masih mengalami proses tumbesaran dan kematangan telah mengeruhkan lagi keadaan kerana mereka perlu berhadapan dengan akibat kehamilan semasa remaja dari segi perubatan psikologi sosial.

Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas. Akhbar Utusan MALAYSIA juga telah mengeluarkan satu isu pembuangan bayi yang berlaku di Pekan.


PEKAN: Seorang jemaah yang baru hendak melangkah masuk ke dalam masjid awal pagi semalam, terkejut mendengar tangisan bayi yang diselimuti kain pelikat ditinggalkan di tepi pintu masjid Kampung Lamir di sini. Khasli Mohd Razali, 48, berkata beliau menemui bayi lelaki berkenaan bersama botol susu, beg plastik berisi lampin pakai buang, sekotak susu dan pakaian di sisinya. Bimbang keselamatan bayi itu, beliau memanggil penduduk yang tinggal bersebelahan masjid untuk melihatnya sebelum imam masjid menghubungi polis.

Katanya, terdapat kesan gigitan nyamuk pada muka bayi berkenaan yang mungkin ditinggalkan di situ antara dua hingga tiga jam.  “Mungkin kerana lapar, bayi itu menangis yang turut didengari seorang penduduk yang tinggal hampir dengan masjid berkenaan. “Perbuatan meninggalkan bayi yang tidak berdosa ini suatu tindakan tidak berperikemanusiaan,” katanya yang bertugas dengan syarikat membuat kenderaan di Peramu Jaya, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, bayi seberat 2.9 kilogram dan dipercayai keturunan Melayu kini ditempatkan di Hospital Pekan untuk rawatan lanjut. Katanya, orang ramai yang melihat atau ada maklumat mengenai pembuangan bayi itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya. Yahaya berkata, kejadian itu adalah yang pertama tahun ini membabitkan kes meninggalkan bayi di daerah ini, kes sama pernah berlaku dua tahun lalu.

FAKTOR-FAKTOR

Didikan Agama

Antara  punca  kepada  masalah  pembuangan  bayi  yang  kian  berleluasa  ini  adalah  kurangnya  didikan  agama  dalam  kalangan  remaja.Kekurangan  didikan agama yang  merupakan  panduan  dan  pedoman  hidup  telah  menyebabkan  mereka  hilang  arah  dalam  kehidupan  dan  terlibat  dalam  gejala-gejala  negatif  seperti  pergaulan  bebas .Remaja  yang  melibatkan  diri  dalam  gejala  pergaulan  bebas  akan  terdorong  untuk  menjalinkan  hubungan  bertentangan  dengan  hukum  agama.Kesannya,remaja  perempuan  akan  mengandung  tanpa  ikatan  yang  sah.Dalam  situasi  tersebut , remaja  yang  lemah  pegangan  agama  tidak  akan  teragak-agak  untuk  membuang atau  membunuh  zuriat  yang  dilahirkan  kerana  malu  dan  tidak  mahu  bertanggungjawab  atas  zuriat  tersebut.Hal  ini  menunjukkan  peranan  agama dalam  kehidupan  adalah  amat penting untuk membentuk pegangan hidup yang teguh dan bukannya menurut hawa nafsu semata-mata .Malah,   ayat  al-Quran, surah Sad,ayat  26 juga menyatakan bahawa ,“…janganlah  kamu  menurut  hawa  nafsu  kerana  yang  demikian  itu  akan  menyesatkan  kamu  dari  jalan  Allah…”.Hal ini membuktikan bahawa pegangan agama yang teguh akan menjadi benteng  yang  kukuh  bagi  menangkis  segala  anasir-anasir  yang negatif  dalam  kehidupan.

Sikap Ingin Tahu

Di samping  itu, sikap  ingin  tahu  remaja  juga  antara  punca  kepada  masalah  ini. Remaja   kini  sangat  cenderung  untuk  mencuba  sesuatu   yang  baharu . Sikap  ingin  tahu  tentang  sesuatu  sememangnya  wujud dalam  diri  remaja.Setiap  perkara  yang  dilarang  itulah  yang  ingin  diterokai  oleh  mereka.Remaja  beranggapan  bahawa  mereka  menjadi  lebih  matang  dan  hebat dengan  mencuba  sesuatu  yang  jarang  dilakukan  oleh  orang  lain. Lebih-lebih  lagi  perlakuan seks  rambang .Hakikatnya  remaja  yang  matang  seharusnya  berfikiran  positif  dan  rasional  dalam  membuat  keputusan dan  bukannya  dengan  cara  yang  ditegah  oleh  agama .Persis  kata  peribahasa  Melayu,“sesal  dahulu  pendapatan , sesal  kemudian  tidak  berguna”, menjelaskan kepada  kita  betapa  pentingnya  kita  membuat  keputusan  dengan  bijak  agar  tidak  menyesal  di kemudian  hari.
Tambahan  pula,remaja  pada  masa  sekarang   boleh  dikatakan  lebih  rapat  dan  banyak  menghabiskan  masa   bersama    rakan  berbanding  dengan  ibu bapa mereka. Maka,boleh dikatakan  pengaruh  rakan  sebaya  yang   negatif  juga  menjadi  antara  punca  kepada  masalah  ini.

Pergaulan Bebas

Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab masalah pergaulan bebas dalam kalangan anak muda di Negara kita.Salah satunya ialah terpengaruh daripada cerita Hollywood yang tidak sesuai ditonton oleh remaja bawah umur 18 tahun.Kebanyakkan cerita yang ditayangkan ini mamaparkan aksi-aksi yang kurang sopan antara lelaki dan perempuan ,seperti melakukan hubungan intim tanpa ikatan yang sah atau lebih tepat lagi dengan istilah melakukan maksiat.Keadaan seperti inilah yang menyebabkan remaja yang menonton tayangan ini akan terpengaruh dan ingin mencubanya dengan rakan yang berlainan jantina.
Selain itu,masalah pergaulan bebas ini sering menular kerana adanya pengaruh daripada anak-anak muda yang pernah menuntut di perantauan,mereka membawa pulang budaya barat dan mempraktikkannya apabila pulang ke tanah air.Mereka bergaul bebas tanpa mengira jantina,menyebabkan generasi muda yang melihatnya terpengaruh serta memberi impak negatif seperti menjerumuskan anak muda ini ke arah penzinaan dan seks bebas.Keadaan seperti inilah yang boleh menyebabkan berlaku kes pembuangan bayi serta masalah keruntuhan akhlak generasi muda hari ini.

Judi & Arak

Dalam kitab Bible thecatat sesiapa yang mengejar kekayaan dengan cara yang jahat, menyangkakan dia tidak akan dirundung kemiskinan. Di dalam Kitab Tirukal kitab suci agama Hindu ayat 931 menyebut: Jangan berjudi, kerana jika pun kamu menang, kemenangan itu laksana mata kail yang menyangkuk ikan yang menelannya. Di dalam buku Buddhism in Practice, Dr Peter Santina menulis: Dalam hal ini Buddha menasihatkan manusia menjauhkan diri dari Enam aktiviti yang perlu dijauhkan adalah perjudian, hiburan yang mahal-mahal, bercampur dengan mereka yang tidak baik, malah, minum arak dan berpelisiran di jalan-jalan. judi ini bukan budaya semua agama di dunia ini. Ia adalah pengaruh budaya barat yang ingin menghancurkan sesuatu bangsa secara tidak disedari. Judi termasuk juga tikam nombor ekor dan sekutu dengannya.
Budaya barat seperti “clubbing” merupakan satu buday yang menjadikan judi dan arak menjadi semakin popular di kalangan remaja ini. Mereka merasakan judi dan arak adalah sesuatu kegiatan yang dapat medatangkan keseronokan dan kekayaan secara cepat. Namun semua ini dalah dilarang oleh ajaran agama.

Kekeluargaan

Isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak-peranda. Ibu atau bapa tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka mula terlibat dengan aktiviti songsang. Sesungguhnya, keadaan rumah tangga yang berpecah belah inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi semakin menjadi-jadi.
KESAN

Tidak dapat dinafikan juga, pembuangan bayi akan memberikan kesan yang sangat besar pada negara. Jatuh dan bangunnya sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Beberapa kesan yang ketara pasti akan wujud samada melibatkan kesan jangka panjang atau pendek kepada negara ini. Antara kesan yang akan berlaku ialah:

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgeTRmUVhRTPjA7YC4eQ9VCxk-LXQeOrZ-Ji6g2MrIM6HcAXqzhtXmOdaP6m_dKtq47cw8OAwqYVxFTfpYZ-cIY6fbPL4IKVWN78JmXztvauOycfTrp_pCgKutMcVTb7eCnUSDCfN9NDtg/s320/index.jpg

Ø  Negara akan kehilangan generasi dan kepimpinan pada masa hadapan. Negara akan mengalami kerugian yang sangat besar kerana generasi pada masa kini tidak mempunyai akhlak baik dan yang diinginkan dan hal ini menyebabkan negara akan kehilangan pemimpin-pemimpin yang berwibawa untuk mentadbir negara.

Ø  Kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi negara juga sukar untuk berkembang kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang yang tinggi di kalangan masyarakat. Pembangunan susah untuk berkembang dan dijalankan oleh kerajaan kiranya keruntuhan akhlak berada pada tahap yang membimbangkan. Kerajaan akan dibebani pelbagai masalah yang boleh menghalang kerancakan pembangunan negara.


Ø  Anasir-anasir luar akan mudah meresap masuk kedalam negara seandainya generasi pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Mereka akan mudah dan cepat terpengaruh dengan budaya-budaya kuning dan juga budaya barat yang sentiasa ingin menghancurkan remaja islam pada hari ini. 

LANGKAH MENGATASI

Sebelum kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya menongkat dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil segera demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberikan pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan kesedaran mengenai peranan ibu bapa dalam keluarga serta batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberikan kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi dan dosa besar yang terpaksa dipikul.
Selain itu, pihak bertanggungjawab hendaklah mengadakan ceramah atau kempen di peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kan kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secara berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing masyarakat terutamanya golongan remaja supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam kehidupan.

Langkah yang seterusnya ialah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan mangsa yang mengalami ketidakstabilan emosi mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada terus melakukan perkara yang terkutuk.
Di samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang lebih berat sebagai peringatan kepada orang lain kerana bertanggungjawab menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang kanun jenayah  rogol perlu dikuatkuasakan dengan bersungguh-sungguh supaya perogol atau mereka yang berzina ini menerima hukuman yang setimpal. Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara lebih dua puluh tahun dan sepuluh sebatan. Hal ini akan dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara kita.
Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peripentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberikan didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah lebih efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini yang disebabkan oleh banyak faktor dan mempunyai pendekatan yang tersendiri. Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni. Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.
Dengan ini dapat disimpulkan bahawa semua pihak terlibat dalam menangani masalah pembuangan bayi ini. Justeru itu, semua pihak harus melihat gejala pembuangan bayi secara rasional dan tidak seharusnya memandang sepi tentang masalah ini. Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu, bekerjasama bagi mengatasi gejala pembungan bayi sebelum ianya menjadi lebih serius.


No comments:

Post a Comment