1.
Menurut petikan kenyataan media pada 27 Mac 2006, Dewan
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah menyuarakan kebimbangan akan barah
sosial dadah yang membahan dalam kalangan generasi pemimpin akal sari negara
ekoran peningkatan jumlah penagih dadah di Malaysia. Hal ini dikeruhkan lagi
apabila Laporan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Soraya Selamat
menyatakan bahawa 10 peratus atau sejuta belia di negara ini terlibat dalam
gejala penagihan dadah. Sementelahan itu, menurut laporan yang dikeluarkan oleh
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) jumlah penagih dadah bagi tempoh 1988
hingga 2005 ialah 289,763 orang. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja
atau pelajar merupakan msalah yang kompleks. Hal ini demikian kerana kebejatan
ini bukan sahaja melibatkan pihak remaja atau keluarga tetapi juga mengancam
pengwujudan modal insan tanah air yang berketerampilan dan berwibawa.
Ramai yang berbicara tentang isu penyalahgunaan dadah, namun pernahkah kita
bertanya kepada diri kita masing-masing apakah yang dimaksudkan dengan dadah?
Menurut Agensi Dadah Kebangsaan, Dadah merupakan satu istilah khas kepada
sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari
segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah laku pengguna
apabila digunakan. Bertitik tolak daripada itu, seseorang yang menggunakan
dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah tersebut akibat ketagihan dadah.
Seseorang penagih akan sanggup menggadaikan maruah serta memperhambakan diri
kepada sesiapa saja walau dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya
terjamin. Akibatnya ramai yang sanggup mengemis dan melacurkan diri.Walaupun
dadah yang dikenali umum terdiri daripada heroin, morfin, dan ganja, pada
hakikatnya ia merangkumi juga semua bahan yang dapat memberi kesan seperti yang
dinyatakan sebelum ini. Oleh hal yang demikian, tidak keterlaluan jika
tembakau, keretek,dan arak turut dirangkumi kategori ‘dadah’. Semua jenis dadah
yang telah disebutkan pada dasarnya menunjukkan kesan ketagihan dalam bentuk pergantungan
fizikal, mental dan emosi yang sama. Dadah dapat dibahagikan kepada lima jenis,
iaitu Opiat, Kanabis, Halusinogen(Marijuana dan LSD), Stimulan(Amphetamine,
kokain, nikotin, dan kafein) dan Depresen. Penyalahgunaan dadah dapat
diinterpretasikan sebagai penggunaan dadah bukan untuk tujuan perubatan, sama
ada dengan cara makan, menyuntik atau menghisap.
Manakala berdasarkan laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2007,
dianggarkan 200 juta atau 5 peratus daripada penduduk dunia (1 daripada 200
orang) mengambil dadah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan bagi
setiap penagih yang dikesan ada empat orang lagi yang gagal dikesan atau tidak
dilaporkan. Jikalah ini benar, hal ini bermakna bahawa jumlah sebenar penagih
dadah di Malaysia realitinya mampu mencecah sejuta orang berbanding dengan
hanya 250,000 yang dilaporkan baru-baru ini. Kajian Yayasan Perlindungan
Jenayah Malaysia mendapati bahawa majoriti penagih dadah di negara ini mula
mengenali dadah dalam lingkungan usia 13-15 tahun dan 71 peratus daripada
penagih baru terdiri daripada golongan muda antara 19-39 tahun.
Apa yang membimbangkan ialah golongan remaja yang terdiri daripada pelajar
sekolah turut terlibat dengan kegiatan ini. Ini pastinya merupakan satu
kerugian kepada negara kerana remaja merupakan pewaris kepimpinan negara pada
masa hadapan.
Siapakah remaja?
Memahami diri remaja adalah penting bagi mengenal pasti faktor-faktor yang
menyebabkan mereka cenderung untuk terlibat dalam gejala penyalahgunaan dadah.
Ini kerana faktor individu itu sendiri serta faktor perkembangannya
mempengaruhi tingkahlaku yang dilakukan olehnya.Perkataan remaja ataupun
adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu “adolscere” yang bermaksud
“membesar menjadi matang”. Menurut Kamus Dewan (Edisi ketiga), remaja merupakan
seorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin
dan sedang melalui proses inginkan cinta. Dari segi perspektif Islam pula,
remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai
baligh. Pada peringkat ini, golongan remaja mengalami peralihan antara zaman
kanak-kanak dengan dewasa.Definisi remaja ini banyak diperkatakan oleh ahli
psikologi dan antaranya, ada yang mentakrifkan zaman remaja sebagai suatu
tempoh perkembangan fizikal, suatu konsep yang abstrak, suatu fenomena
sosiobudaya atau suatu perubahan paradigma sikap remaja dalam
kehidupannya.
Mengikut seorang ahli psikologi Stanley Hall (1940), zaman remaja ialah jangka
masa seseorang itu mengalami berbagai cabaran dan tekanan (storm and stress).
Ini kerana pada peringkat ini remaja mengalami perubahan fizikal, intelek serta
emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga
masyarakat. Perkembangan fizikal remaja perlu diketahui bagi membantu memahami
tentang sesetengah remaja yang lambat atau cepat dalam perkembangan mereka dan
apakah kesan-kesan disebaliknya. De Brun (1990) pula, mendefinisikan remaja
sebagai tempoh pertumbuhan antara masa kanak-kanak dengan masa dewasa yang pada
umurnya bermula pada usia 12 atau 13 tahun dan berakhir pada usia awal dua
puluhan. Ketika seseorang merentasi zaman remaja, berlakulah proses
perkembangan yang mencakupi perubahan-perubahan yang berhubung dengan
perkembangan psikoseksual dan merupakan proses pembentukan orientasi seseorang
insan. Berpandukan definisi remaja yang telah diberikan, secara keseluruhannya
dapat kita konklusikan bahawa remaja merupakan satu tempoh peralihan dari zaman
kanak-kanak ke alam dewasa yang berlangsung dalam usia sekitar 13 tahun hingga
20 tahun. Pada peringkat ini berlakunya perubahan yang pesat sama ada perubahan
biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan.
Oleh itu, dalam proses mengimbangi perubahan-perubahan drastik ini, golongan
remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik dalam mencari identiti
diri. Oleh itu, berlakulah ketegangan jiwa dan tekanan emosi dalam diri remaja.
Jika diteliti secara mendalam, zaman remaja sebenarnya merupakan suatu proses
dan bukannya satu jangka masa kerana pada tahap ini akan berlakunya proses
mencari pedoman dan panduan dalam bahrul hayat yang seringkali dilanda badai
kehidupan.
Siapakah yang harus dijadikan kambing hitam dalam konteks penyalahgunaan dadah
dalam kalangan remaja? Lantaran itu, kemelut penagihan dadah yang kini menjadi
isu global haruslah dielidik hingga ke akar umbinya. Faktor perdana yang
menyebabkan tercetusnya masalah sosial ini ialh institusi keluarga yang rapuh
dan goyah. Sesungguhnya, institusi keluarga merupakansatu ubit kecil dalam
masyarakat yang memainkan peranan yang penting untuk bertindak dan menjaga
kebajikan anggotanya. Ibu bapa, jika dipandang dari segi objektif, telah
dikurniakan tugas selaku agen sosialisasi mahajan yang bertanggungjawab
mendidik dan memberikan panduan hidup kepada remaja yang masih terkial-kial
menentukan orientasi kehidupan dalam dunia remaja yang penuh ranjau.
Walaubagaimanapun , dalam era globalisasi sekarang, manusia berlumba-lumba
mencari kekayaan materialistik. Manusia lebih bersikap individualistik seperti
nukilan peribahasa , ‘bagai enau dalam beluklar melepaskan pucuk
masing-masing.’ Akibat terlalu taksub kepada kebendaan, maka ikatan
kekeluargaan semakin renggang dan longgar. Hal ini demikian kerana bagi ibu
bapa yang bekerja, mereka lebih gemar mengejar kepingan kertas biru merah
berbanding membina sahsiah dan mencorak akhlak anak-anak muda. Jika penilaian
terperinci dibuat, remaja yang terbabit dalam gejala penagihan adah
kebanyakannya berasal daripada keluarga yang ketandusan kemesraan sesama
anggotanya.
Sering kali dinyatakan ibu bapa mempengaruhi kejayaan remaja khasnya pelajar di
dalam pelajaran. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang sentiasa memberi
galakan dan perangsang sehingga mereka timbul minat, semangat ketekunan dan
keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran. Ibu bapa juga yang menentukan
pola-pola tingkah laku remaja. Faktor-faktor seperti dorongan dan galakan,
disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak serta keluarga yang
mempunyai hubungan ukhuwah yang utuh memberi kesan ke atas pembentukan fiil dan
pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa
memberi dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang tinggi. Disiplin
yang berterusan dan hubungan yang baik antara ibu bapa dengan remaja
meningkatkan motivasi kejayaan di dalam pelajaran.Dalam kajian ke atas 408
orang kanak-kanak, pengkaji mendapati keadaan di rumah adalah lebih cepat
dikaitkan dengan kemajuan sekolah daripada kecerdasan. Sungguhpun begitu,
kedua-duanya mempunyai hubungan signifikan . Dengan ini jelaslah betapa penting
dan besarnya peranan ibu bapa dalam membentuk, mendidik dan mengasuh anak-anak.
Dengan kata lain, keutuhan institusi kekeluargaan dapat menjamin kecemerlangan
remaja khususnya dalam alam pendidikan dan perkembangan personaliti.Ibu bapa
khususnya,adalah salah satu faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi
pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja. Ini kerana, ibu
bapa menjadi sumber utama dan pertama proses pembelajaran dan pembentukan
keperibadian remaja. Hakikat ini jelas dinyatakan oleh bapa psikologi moden.
Oleh itu, ibu bapa yang tidak memainkan peranan dalam pembentukan tingkah laku
remaja menyebabkan berlakunya kemunduran pembentukan dan perkembangan
personaliti atau sahsiah remaja tersebut.Cara gaya keibubapaan atau cara asuhan
dipercayai banyak mempengaruhi personaliti remaja khususnya pelajar sama ada di
dalam kelas mahupun di luar kelas. Sebagai contohnya, ibu bapa yang mengamalkan
cara gaya asuhan yang bersifat autokratik dipercayai menyebabkan lahirnya
personaliti yang terlalu agresif, memberontak ataupun sebaliknya iaitu
melahirkan individu pesimis. Remaja yang bersifat agresif dan memberontak
kebiasaannya lebih gemar menghabiskan masanya di luar rumah kerana berasa terkongkong
berada di dalam rumah. Maka, disini bermulalah pengaruh-pengaruh luar yang
negatif seperti pengaruh kawan-kawan yang devian, rasa ingin kebebasan
seterusnya menyebabkan punca berjinak-jinak dengan najis dadah.
Remaja daripada keluarga yang berpecah belah atau yang ketiadaan ibu bapa atau
kedua-duanya mengalami kehilangan tempat bergantung, tempat menumpahkan kasih
sayang serta tempat menerima contoh dan teladan untuk menjadi bekal penghidupan
di hari dewasa sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif dan dinamis. Keadaan
seperti ini boleh menjejaskan perkembangan remaja terutamanya dalam pencapaian
akademik serta proses pembentukan personaliti. Ini bersesuaian dengan salah
salah satu keperluan termilik dan kasih sayang. Menurut ahli psikologi Rusia terkenal,Maslow,
kekurangan perhubungan kasih sayang menjadi punca kecelaruan emosi yang
melibatkan tingkah laku agresif dan anti-sosial.Sebagai contohnya, remaja
daripada keluarga yang ibu bapanya bercerai mempunyai EQ(emotional quotient)
yang lebih rendah di samping melahirkan ciri-ciri tingkah laku yang negatif
seperti permusuhan, kezaliman dan tiada kasih sayang. Krisis keluarga seperti
penceraian dan pertengkaran ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja kehilangan
obor panduan hidup. Maka, lahirlah remaja yang tidak sihat jiwanya seterusnya
menyumbang kepada pelbagai gejala negatif termasuklah penagihan dadah.
Mustahillah ajaran agama dan didikan moral dapat disampaikan kepada anak-anak
muda sekiranya unit keluarga, unit paling asas suatu komuniti, hancur akibat
pergaduhan dan perang dingin sesama ahli keluarga dan ibu bapa. Mungkin ramai
yang tertanya-tanya apakah ounca alain yang mempengaruhi perlakuan terpesong
ini? Adakah generasi hari ini sudah kehilangan pertimbangan akal dan tidak lagi
berupaya berfikir secara rasional? Salah satu faktor yang dapat dikaitkan
dengan kenyataan ini ialah kurangnya didikan agama dan moral dalam kalangan
remaja. Sesungguhnya asas keagamaan yang kukuh perlu dipupuk dalam diri remaja
kerana agama merupakan benteng dan pedoman dalam menempuh segala cabaran
kehidupan. Namun, pada zaman muasir ini, pendidikan agama dan nilai-nilai murni
kurang diterapkan kepada remaja. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup
terumbang-ambing tanpa sebarang pegangan hidup di dunia ini. Mereka ibarat
kemudi hilang nakhoda tatkala kekurangan didikan agama dan mereka bakal karam
dalam laut kehidupan. Tanpa perisai agama yang kukuh dan teguh, remaja mudah
menjadi hamba dadah dan tidak suka akan batasan yang telah ditetapkan oleh
agama.
Pada diri remaja, pengaruh lingkungan dalam menentukan perilaku diakui cukup
kuat. Walaupun remaja telah mencapai tahap perkembangan kognitif yang memadai
untuk menentukan tindakannya sendiri, namun penentuan diri remaja dalam
berperilaku banyak dipengaruhi oleh tekanan dari kelompok teman sebaya.
Kelompok teman sebaya diakui dapat mempengaruhi pertimbangan dan keputusan
seorang remaja tentang perilakunya. Rakan sebaya mempunyai nilai-nilai
tersendiri dan mempunyai pengaruh yang ketara. Rakan sebaya di sekolah dapat
mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Sekiranya nilai-nilai rakan sebaya tdak
mementingkan ketekunan, tanggungjawab, kerjasama, menepati masa, menghormati
guru dan memenuhi peraturan, begitulah sikap pelajar berkenaan. Sebaliknya
sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan menghasilkan seseorang individu
yang amat menekankan nilai moral dalam satu-satu masyarakat seperti sifat
kepimpinan, bertimbang rasa dan bekerjasama.Rakan sebaya juga memainkan peranan
yang penting bagi membentuk konsep persepsi diri, sikap dan pandangan seseorang
pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun tidak di mata masyarakat
sekelilingnya. Sekiranya kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat baik,
maka remaja ini terpengaruh hendak menjalankan aktiviti yang sihat. Sebaliknya
sekiranya kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat jahat, maka remaja ini
akan cenderung melakukan aktiviti-aktiviti yang negatif.Ini disebabkan remaja
senantiasa ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka sentiasa
sanggup melakukan apa-apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya. Remaja
yang berasal daripada keluarga yang bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan sendiri.
Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Apabila rakan sebaya
membentuk kumpulan yang bersifat negatif, remaja turut melakukan perkara yang
sama supaya diterima oleh kumpulannya seperti meniru dalam peperiksaan, merokok
dan lain-lain yang boleh menjejaskan pelajaran. Paling teruk lagi ialah
pengaruh rakan sebaya ini akan mengaruh remaja terlibat dengan najis dadah.
Ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa rakan sebaya bagai gergaji dua mata yang
dapat membina atau memusnahkan akhlak seseorang remaja. Selain itu, senario ini
tidak ubah seperti lidah pendeta Parsi yang pernah mengungkapkan, ‘sesiapa yang
berkawan dengan si penjual minyak wangi, maka haruman akan terkena pada
dirinya, sesiapa yang berkawan dengan si tukang besi maka percikan api akan
terkena dirinya jua.’
Faktor lain yang membawa kepada berlakunya penagihan dadah adalah sikap remaja
yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu
memang wujud dalam diri remaja. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru
kerana mereka mempunyai semangat enkuiri yang membara dalam diri mereka. Setiap
perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai mereka. Remaja sekarang
lebih suka kepada cabaran dan mudah terikut dengan gaya, cara hidup lain
daripada yang lain. Ini dapat dibuktikan daripada kenyataan akhbar Utusan
Malaysia (30 September 2002) menyatakan, sikap terpedaya dan sukar mengawal
nafsu dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya gejala penyalahgunan
dadah dalam kalangan remaja. Ini jelas membuktikan sikap remaja yang ingin
mencuba sesuatu tanpa mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal
diterima. Memang tidak dapat dinafikan bahawa naluri manusia memang cenderung
ke rah mencari sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang baharu dan di luar
kelaziman. Sememangnya, perkara sedemikian hanya mengundang keruntuhan akhlak
remaja sendiri.Masalah jenayah seperti penyalahgunaan dadah juga adalah
daripada sikap ingin tahu yang tidak kena pada tempatnya. Menurut Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, “Masalah dadah yang merupakan masalah utama, masih
merupakan ancaman besar negara”. Petikan akhbar ini jelas membuktikan betapa
seriusnya masalah dadah yang majoriti penagihnya terdiri daripada golongan
remaja.Selain itu, remaja sering dilabelkan sebagai ‘moody’ kerana sekiranya
remaja gagal menangani gangguan emosi yang melanda, maka ia membawa pada
masalah remaja seperti penyalahgunaan dadah,
delinkuensi dan kecenderungan hendak membunuh diri. Menurut penterjemah buku
berjudul Psikologi Pendidikan iaitu Noran Fauziah Yaakub, beliau menyatakan
sebab utama berlakunya delinkuensi adalah perasaan kekecewaan. Keadaan ini
menunjukkan remaja yang mengalami tekanan dalam diri cenderung melakukan
masalah. Mereka tidak dapat mengawal emosi dan kematangan fikiran lantas
mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam pelbagai perkara negatif
seperti menghisap dadah.
Menurut Dr. Syed Hasan Ahmad menyatakan, “Apabila remaja membuat andaian bahawa
ibu bapa cuai dalam tanggungjawab mereka dan berlaku sesuatu yang tidak
diingini dalam keluarga terbabit, remaja itu akan berasa marah, kecewa dan
memendam perasaan.” Keadaan ini membawa pada perilaku yang tidak baik seperti
vandalisme, lepak, dan penyalahgunaan dadah kerana mereka ingin mengelak
daripada berada di rumah. Andaian yang dibuat oleh remaja ini memjejaskan
hubungan antara ahli keluarga dan sekiranya tidak diatasi pasti semakin
seriuslah masalah remaja. Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh pakar
motivasi iaitu Rubiah Hamzah iaitu sikap marah dan tidak puas hati dapat
memberi kesan negatif dan positif. Kesan negatif adalah apabila seorang itu
mengambil sikap berdiam diri serta memendam rasa tanpa mahu meluahkan atau
menceritakan masalah yang membelenggu diri kepada orang lain.
Penyalahgunan dadah juga mudah berkembang melalui pengaruh hedonisme atau hiburan
yang melampau. Muzik yang berirama keras seperti Black Metal, Punk, Rock,
SkinHead dan lain-lain lagi sering dikaitkan dengan dadah. Senikatanya banyak
yang membawa maksud kepada dadah, seks bebas, arak, dan jenayah. Golongan artis
pula kebelakangan ini, semakin ramai ditangkap kerana dadah. Amat memalukan
apabila kerajaan mengiktiraf mereka dengan pelbagai anugerah, dalam masa yang
sama mereka mencemarkan nama baik mereka dan industri ini dengan dadah.
Dalam keluh kesah, perasaan yang mencengkam kalbu, mahu tidak mahu, remaja akan
terpengaruh dengan gejala-gejala sosial yang akan mengheret mereka ke dalam
lembah kedurjanaan, iaitu penagihan dadah. Bak kata pepatah, bertepuk sebelah
tangan tidak akan berbunyi. Peribahasa tersebut bertepatan dengan situasi ini.
Masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja sememangnya berpunca daripada
remaja itu sendiri. Kita semua sedia maklum bahawa remaja masih mentah dan
tidak tahu membezakan yang mana satu intan dan yang mana satu kaca. Mereka
sedang mencari identiti diri dalam kehidupan dan tidak mempunyai hala tuju yang
tetap. Maka, mereka mudah terpengaruh dengan gejala-gejala sosial seperti
penagihan dadah. Tambahan itu, sikap remaja yang ingin tahu dan suka mencuba
sesuatu yang baru telah menyebabkan mereka mula terjebak dalam perbuatan yang
tidak bermoral ini. Mereka tidak berfikir dengan rasional tentang akibat
tindakan mereka - lumrahnya, mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Maka,
jelaslah bahawa faktor remaja itu sendiri merupakan suatu punca berlakunya
masalah ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa kekurangan tindakan daripada pihak sekolah juga
merupakan suatu faktor berlakunya masalah penyalahgunaan dadah. Walaupun pihak
sekolah banyak melancarkan kempen-kempen antidadah, jelas bahawa kempen-kempen
sebegini tidak membawa kesan yang diingini. Pelajar-pelajar sekolah masih
terjerumus dalam gejala-gejala sosial. Hal ini kerana pihak sekolah tidak
menumpukan perhatian kepada pembinaan sahsiah pelajar; sebaliknya mereka
menganjurkan ceramah-ceramah yang hanya berfungsi untuk meleter para pelajar.
Hakikatnya, institusi sekolah merupakan suatu tempat untuk membantu pelajar
mencari identiti diri dan mendapat panduan moral. Apabila pelajar-pelajar tidak
mahu berkongsi masalah dengan guru-guru kerana takut akan akibatnya, jelaslah
dilihat bahawa insititusi sekolah telah mengabaikan tanggungjawabnya untuk
menjadi kemudi nakhoda kepada anak-anak muda. Pihak sekolah tidak harus
memandang enteng akan kepentingan memberi didikan moral yang utuh kepada
remaja, melalui teladan dan bukannya sekadar berkhutbah sahaja.
Pelbagai jenis dadah dapat dibeli dengan mudah, asalkan seseorang pembeli itu
mempunyai kenalan yang sepatutnya, dan wang yang mencukupi. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa pengedaran dadah tidak terkawal. Pihak berkuasa tidak
memainkan peranan mereka untuk membanteras dadah dengan sepenuhnya. Tambahan
itu. sesentangah pihak mengamalkan sikap endah tak endah dan sambil lewa
terhadap usaha-usaha yang telah diambil untuk menangani masalah penagihan
dadah. Terdapat golongan masyarakat yang tidak akan melaporkan kes
penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja, walaupun mereka mengenali remaja
tersebut. Hal ini kerana mereka takut akan dilanda pelbagai permasalahan
sekiranya melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa. Golongan ini bersikap
mementingkan diri sendiri. Hasilnya, remaja dapat bertindak sesuka hati dan
membeli dadah dengan mudah kerana mereka tahu bahawa tiada orang yang akan
mempedulikan tindakan mereka itu. Tuntasnya, kelalaian pihak berkuasa dan sesetengah
anggota masyarakat telah menyebabkan generasi muda zaman ini terlibat dalam
gejala yang memudaratkan ini.
Dalam pada itu, kesan daripada inflasi, pengangguran serta taraf hidup yang
tidak seimbang boleh membiakkan lagi gajala penyalahgunaan dadah. Laporan
menyatakan seramai 80,000 graduan masih belum dapat pekerjaan. Pada masa yang
sama harga minyak dan barangan pula semakin bertambah. Jurang pendapatan antara
yang bergaji sederhana dan rendah dengan yang berpendapatan tinggi pula amat
ketara. Ini memberikan tekanan yang hebat kepada rakyat dan membuka ruang
masyarakat terjerumus kepada gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan
jenayah. Oleh itu, DPPWP menuntut kerajan supaya mengkaji balik kesan kenaikan
harga minyak terhadap rakyat serta membuka peluang lebih banyak peluang graduan
menceburi bidang pekerjaan.
Kesimpulannya, tidak dapat kita nafikan bahawa dadah telah menjadi duri dalam
daging masyarakat dan harus diperangi sehingga ke akar umbi. Dadah memang sudah
dibuktikan sebagai pemusnah bangsa dan penghancur tamadun; dadah menjadi musuh
seluruh kaum Adam yang hanya memudaratkan umat manusia baik dari segi badaniah
mahupun dari segi mental dan pembentukkan sahsiah yang utuh. Sudah sekian lama
kita berdebat dan bertegang leher tentang isu dadah namun kita harus sedar
bahawa dadah bukannya isu yang hanya dapat diselesaikan dengan bicara lidah,
sebaliknya merupakan kebejatan yang hanya dapat dibanteras dan dibasmi menerusi
tindakan undang-undang serta kerjasama antara rakyat jelata dengan pihak kerajaan
dan polis.
Oleh hal yanhg demikian, marilah kita berganding bahu dan bersinergi untuk
memerangi dadah sehingga ke akar umbi.